Thursday 25 April 2013

Kursus Pengurusan Jenazah 28 April


Kain rentang direka biro Komunikasi dan Teknologi Maklumat BAKUP4

Assalamualaikum WBT.

In Sha Allah, satu kursus pengurusan jenazah yang dikendalikan oleh Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek anjuran bersama BAKUP4/BAKSRA akan diadakan dengan butiran seperti berikut:

Tarikh: 28 April, 2013 (Ahad)
Waktu: 8.0 pagi hingga 4.00 petang
Tempat: Surau Al-Ikhlas, Pangsapuri Sri Raya, Ukay Perdana, 68000 Ampang, Selangor.

ATURCARA KURSUS PENGURUSAN JENAZAH BAKUP4/BAKSRA

8.00-9.00 pagi - Pendaftaran peserta dan sarapan
9.00 pagi - Ucapan aluan Pengerusi BAKUP4/BAKSRA
9.10 pagi - Perasmian oleh Penghulu Mukim Hulu Klang
9.30 pagi Ceramah Sakaratul Maut Oleh Ustaz Mohd Hanafiah Abd Malek
10.00 pagi - Kursus Pengurusan Jenazah
12.30 tgh - Jamuan Tengahari dan Solat Zohor
2.00 ptg - Sambungan kursus
3.00 ptg - Penutup oleh Pegawai Tadbir Agama JAIS, Yang Berusaha Tuan Haji Daim Jajuli
4.00ptg - Minum petang

Untuk makluman semua, Ustaz Mohd Hanafiah adalah antara panel jemputan program Tanyalah Ustaz di TV9 dan Khidmat Syariah di TV Al Hijrah.

BAKUP4/BAKSRA memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas sumbangan beberapa tokoh korporat dan individu-individu serta jiran-jiran dalam menjayakan kursus ini. Hanya Allah SWT membalas jasa mereka dengan ganjaran pahala berlipat ganda dan moga hidup mereka dilimpahi rahmat dan barokah Allah SWT.

Rebutlah peluang untuk menuntut dalam satu majlis ilmu.

RH

Wednesday 6 March 2013

Tahlil dan Solat Hajat 8 Mac

Assalamualaikum,

Sukacita dimaklumkan Majlis Tahlil/Kenduri Doa Selamat anjuran Datuk Zuki@Latiff dan keluarga akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 8 Mac, 2013 (Jumaat)
Waktu: 8.0 malam
Tempat: Rumah YBhg Datuk Zuki@Latiff

Muslimin & Muslimat dan semua anggota kejiranan kita dijemput berkumpul bersama-sama. Majlis ini juga bertujuan menyempurnakan Solat Hajat supaya Allah SWT mengembalikan keamanan di Lahad Datu dan melindungi anggota-anggota keselamatan negara di sana.

Wassalam.

Monday 4 March 2013

Poll: Tahlil & Solat Hajat Untuk Keamanan

Assalamualaikum, 

Adalah dicadangkan supaya Muslimin & Muslimat dapat berkumpul bersama-sama pada hari Khamis ini (7 Mac 2013) di Padang Permainan UP4: 

- Majlis Tahlil untuk perwira negara yang telah kembali ke rahmatullah dalam insiden di Lahad Datu 

- Solat Hajat supaya Allah kembalikan keamanan di Lahad Datu dan melindungi anggota-anggota keselamatan negara di sana. 

Sila beri pandangan ahli-ahli berkenaan dengan cadangan di atas dengan menulis di ruangan komen. 

Wassalam.

Meriahnya sambutan Maulidur Rasul

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w.

Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

 “DEMI sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” . (al-Ahzab: 21)

Assalamualaikum WBT. Badan Kebajikan Khairat Kematian UP4 memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas limpah kurniaNya majlis sambutan Maulidur Rasul diadakan dengan penuh jayanya pada 16 Februari, 2013 yang lalu, bersamaan 5 Rabiulakhir 1434 Hijrah.

Sambutan yang julung kali diadakan itu disertai penduduk UP4, jemaah Surau Sri Raya dan Sri Baiduri dengan kemuncaknya forum yang diterajui oleh Dr Kamarul Azahar Mohd Razali, bersama panelis Ustaz Al Fadhil Nasrin Hj Muti dari Masjid Al Ridhuan, Hulu Klang dan Ustaz Salman Maskuri, tenaga penggerak pusat pengajian Darulilmi.

Tajuknya Rasulullah Idola Kita tetapi panelis sepakat mengubahnya menjadi Rasulullah Qudwah/Ikutan Kita disebabkan IDOLA itu berasal daripada perkataan Inggeris IDOL yang sebenarnya membawa maksud BERHALA dan secara etimologi, idola berasal dari bahasa Latin, Idolium yang bererti orang halus, bayangan, hantu, arca berhala, dan berhala. Mengikut takrifan kamus Oxford (Edisi ketiga 2001), IDOL dalam bahasa Inggeris membawa maksud patung; berhala; pujaan; orang atau benda yang terlampau disanjung. Dalam konteks pengunaan, perkataan ini lebih sesuai menjurus kepada pemujaan benda, patung atau berhala. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui beberapa terbitan perkataan lain seperti berikut : 1. IDOLATRY = Penyembahan berhala 2. IDOLATER = Penyembah berhala; musyrikin 3. IDOLATROUS = (Bersifat) menyembah atau memuja 4. IDOLIZE = (Terlampau) menyanjung. 5. IDOLIZATION = Pemujaan; pendewaan.

Rasulullah SAW adalah contoh insan kamil, manusia sempurna dan lengkap dan antara kaedah tarbiah yang paling berkesan ke dalam jiwa ialah tarbiah melalui qudwah dan contoh teladan.

Sejarah hidup Nabi dan pendekatan baginda adalah sebaik-baik “madrasah” untuk pemerintah, penguasa, pemimpin, ahli politik, guru, suami dan bapa. Meneladani Rasulullah dan berakhlak dengan akhlak Al-Quran maka kita dihiasi dengan budi pekerti mulia dan akhlak terpuji.

 Rasulullah SAW tidak diutus semata-mata mahu dipuja-puja dan diagung-agungkan. Rasulullah diutus sebagai Qudwah hasanah, supaya kehidupan baginda, keperibadian baginda dan keunggulan baginda menjadi bekal utama kepada umat sepanjang zaman.

Menyambut maulidur Rasul bukan bermakna kita sekadar mengagung-agungkan tarikh kelahiran Rasulullah tapi adalah untuk kita mengingati dan sentiasa mensyukuri betapa KELAHIRAN Rasulullah adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Rasulullah dilahirkan untuk menyelamat umat seluruh alam. Kebangkitan Rasulullah sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.

Atas semangat ini Badan Kebajikan dan Khairat Kematian UP4 menganjurkan perarakan. Majlis disudahi dengan kehadiran Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Gombak, Datuk Hj Megat Zulkarnain Tan Sri Megat Omardin.



Pengerusi BAKUP4, Haji Hamir Md Marican (kiri) memastikan jemaah memulakan perarakan manakala pembawa kain rentang anak remaja Sdr Taufek Sani, setiausaha jawatankuasa penduduk UP4


Melalui pos kawalan


Dua wakil biro Komunikasi, Maklumat dan Teknologi BAKUP4 Sdr Jeffri Tuha (kiri) dan Tengku Azha Tengku Yusoff bekerja keras memastikan setiap bibit pujian dan salawat memuji Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dipancarkan ke seluruh UP4 


Bermula satu pusingan mengelilingi padang


Seperti lazimnya, kaum Ibu tonggak di sebalik mana-mana aktiviti BAKUP4


Melengkapkan separuh pusingan


Antara yang membentuk kontinjen Sdr Aidros Osman (merah jambu), Hj Wan Adleen Wan Hanafi (hijau), Sdr Mustafa Osman (belakang Aidros) dan Hj Zaid Jamil (berjubah putih)


Sdr Jeffri (kiri) memastikan kontinjen tidak sesat jalan


Sdr Mustafa saudagar minyak segak dan tampan berbaju kebangsaan 


Ustaz Fakrullah memimpin selawat


Lunak merdu suaranya memecah keheningan pagi Sabtu


Ustaz Zainon, qari Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Klang, membaca ayat suci Al-Quran


Moderator forum Dr Kamarul Azahar Mohd Razali menyelitkan unsur lawak. Dr Kamarul juga adalah Pakar Runding Kanak-Kanak dan Penyakit berjangkit Hospital Kuala Lumpur . Kiri ialah Ustaz Nasrin manakala sebelah kanan berjubah putih Ustaz Salman


Ustaz Salman yang kerap diundang memberi tazkirah di Surau Sri Baiduri bercerita mengenai  kaedah kepemimpinan dan dakwah Rasulullah sekalipun mengakui selalu dianggap penonton "Oh budak tahfiz rupanya". Ustaz Salman adalah tenaga penggerak Darul Ilmi. Maklumat lanjut klik di sini



Selaku pengerusi jawatankuasa sambutan Maulidur Rasul, Hj Abdul Menim Shakir Amran memberi sepatah dua kata


Hadirin dan hadirat tidak menyangka mendapat habuan dan hadiah


Datuk Hj Megat Zulkarnain menyampaikan sedikit hadiah dan tanda ingatan kepada semua yang hadir, termasuk Setiausaha BAKUP4, Hj Zulfekar Gohar Rahman


Khidzir Yahya, Azhar Nasir dan Azrezal Azimi antara penerima


Turut hadir pengerusi Penghulu Mukim Hulu Klang Zaimi Ghazali (kiri) dan Tn Hj Fauzi Salleh, Nazir Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Klang  


Hj Hamir menyampaikan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis. Terima kasih juga daripada penduduk UP4 kepada Hj Hamir yang menjadi nadi dalam menghidupkan semula aktiviti penduduk


Datuk Hj Megat Zulkarnain bergambar kenangan bersama AJK BAKUP4 dan Az-Zahra


Selepas mendengar forum, tiba masa mengalas perut


Datuk Hj Megat Zulkarnain di meja utama bersama Nazir Masjid Ar-Ridhuan Hj Fauzi, Penghulu Mukim Tuan Zaimie, Ustaz Nasrin, Ustaz Salman, Hj Hamir, Hj Abdul Menim dan Tuan Ahmad Kamal Abdul Rahman

rh

Tuesday 19 February 2013

Cadangan Logo Untuk Digunapakai

Assalamualaikum,

Berikut adalah contoh-contoh logo yang boleh digunapakai onle BAKUP4 sebagai logo rasmi. Cadangan-cadangan lain dan pandangan mengenai logo yang tertera amatlah dialu-alukan.



Wassalam.

dh

Wednesday 23 January 2013

Kelas Al-Quran setiap Jumaat

Sukacita dimaklumkan kelas Al-Quran - Pengukuhan Tajwid anjuran Kumpulan Muslimah Az-Zahra diadakan seperti berikut:

Tarikh: Setiap Jumaat
Masa: 9.0 hingga 11.0 malam
Tempat: Kediaman Pn Hajjah Faizah